Thursday 9 July 2015

Hujan Rintik-rintik, Air Bergelora

oleh A. Awantang

Malam itu aku menyaksikan bumi Tuhan yang telah lama kering dan kehausan dibasahi hujan nikmat. Barangkali Tuhan mendengar desahan manusia-manusia tentang terik dan panasnya kian hari. Aku yang separuh perjalanan dalam mengharungi satu bulan yang memenatkan langsung terfikir satu eskapisme untuk malam ini iaitu berdiri di anjung rumahku lantas menikmati hujan melalui pancainderaku. Membiarkan percikan-percikan sejuk dan halus mengenai aku; muka, lengan dan baju tidurku. Hujan lebat berserta guruh dan angin. Hujannya jika diperhati sepertinya ada yang mencurahkan air dari langit; air dari tin air siram bunga mungkin. Sama seperti apa yang aku bayangkan di awal hidupku. Satu gumpalan hujan terpercik ke mukaku. Membuatkan aku terjaga dari nostalgia masa kecilku. Bunyi dan baunya sampai tepat ke dalam sekian pelusuk tubuhku. Bulu roma meremang dan aku merasa sedikit lain di dalam perut. 

Bahagia?
Aku menarik nafas dalam-dalam sambil memejamkan mata. 

"Razif." satu suara halus terngiang di telingaku.
"Masuk. Hujan tu. Nanti demam." 
"Nanti ye mak, renyai lagipun."

Sedang seronok bermain lopak air dalam renyai hujan, tiba-tiba aku terasa satu pulasan di telingaku dan menarik aku ke bawah teduhan sehingga tiada lagi renyai terasa. Aku mengerang kesakitan sambil menggosok-gosok telinga merah ku. 

"Nanti demam!"

Satu dentuman guruh berjaya mengembalikan aku ke dunia nyata semula. Mataku terbuka. Hujan di luar masih lagi berlangsung. Makhluk-makhluk Tuhan juga seiring berlagu. Aku menarik nafas dalam-dalam sambil memejamkan mata. Sudut bikirku ternaik mengukir senyuman lembut tatkala kenangan pahit bertukar menjadi manis di saat benar-benar merindui. 





Lapangan Terbang Kota Kinabalu, Julai 2015. 




No comments:

Post a Comment