Sunday, 11 May 2014

That Road

oleh A. Awantang

Berjalan perlahan 
Memilih kiri
Berharap sesuatu di hadapan
Masih tidak pasti

Ku gapai erat dahan duri 
dan genggam kemas padanya
Terlindung awan belum ditemui
Di hujung jalan tiada apa

Langkah-langkah itu
Dibuka dengan penuh cermat
Mencari cuma satu
Jawapan tipu muslihat

Ku gapai erat dahan duri
dan genggam kemas padanya
Lonjakan kaki terbang tinggi
Mengejar angan yang dibawanya.

Mei 2014.

Tuesday, 6 May 2014

Mak

oleh NULL

"Tengok ni mak bawa kereta 40 je sebab tengah hujan ni bahaya laju-laju"

Aku senyum. Aku sayang dia.

"Ada ke patut kereta tu tak buka lampu, hujan tengah lebat"

Aku jeling. Aku sayang mak.

"Pandu kereta ni kalau nak pandai, kena cuba juga pandu sendiri, kalau tak cuba tak rasa"

Aku menyampah. Aku sayang dia.

"Pintu tak kunci lagi. Nah ambik kunci ni pergi kunci balik"

Aku geram. Aku sayang dia.

"Kita ni kena belajar, jangan berhenti, mak dulu tak dapat rasa nikmat belajar ni, ada peluang belajar, jangan lepaskan"

Terima kasih mak. Orang sayang mak.

"Boleh tolong pergi kedai?"

Aku pandang dalam-dalam muka mak. Dia jeling saja.

Masih
Aku sayang dia.

:)

Logika

oleh A. Awantang

Miliki pemikiran yg kuat, 
tetapi selalu tempatkan hatimu lebih kuat.
Kerana pada akhirnya,
gerak hati selalu mampu mengalahkan logika.

Mei 2014.

Friday, 2 May 2014

Naga Adamantium

oleh A. Awantang

Ia gagah menuruni cenuram.
laju aerodinamik,
coklat lumpur lusuh badannya,
dan kepak sisi yang membayangi dua pertiga gunung.

Menggegar dengar jeritan 
Tiada lagi hilai ketawa,
hanya tangisan.
Melihat wajah bengisnya
Mereka tidak mampu lagi
berdiri sendiri.

Lontarlah apa sekalipun
Tidak sedikit ia terluka
Malah meningkat amarah,
Mendabik tinggi
dari jarak langit dan bumi
maka ia bermula.

Merekah cahaya dan 
terasa bahang api
Menyala terang dari celahan perisai adamantium,
Lahar panas melalui trakea hitam
Menyembur segenap penjuru,
Membakar rentung habis semua,
tiada sisa.

Maka,
Ia beransur pergi.

Kembali ke gua kelam,
meleraikan perisai adamantium,
satu persatu
mendedahkan dalam yang gebu dan lembut,
lalu baring berpeluk tubuh
berbantalkan stalagmit 
dan tidak berselimut

Saat ini adalah saat ia sendiri
Menilai setiap perbuatan celanya,
Sendu berlagukan titisan air gua,
Sunyi, malah nafasnya bergema,
Yang ia mahu 
hanya sedikit perhatian cuma. 

Kota Kinabalu, Mei 2014.  

Dewan Kosong

oleh A. Awantang

Satu, dua, tiga dan seterusnya,
Melangkah masuk dan bertegang muka,
Berharap semuanya lengkap di dada,
Lalu melilau mencari tempat ikut rasa,
Diberi helaian menunggu masa,
Gerak pena mengikut gaya,
Kiri kanan dilihat ekor mata,
Aku cuba panggil memori lama,
Namun aku bingung, kosong dan terpana,
Jiwa aku sedikit mati gamaknya.

Kota Kinabalu, Mei 2014.

Thursday, 1 May 2014

Hasil Interval

oleh A. Awantang

Jangan pernah berhenti mencuba,
Dapatan semata tidak pernah cukup,
jarak interval sepanjang perjalanan
itulah yang sebenarnya diambil kira.

Bahkan kita tidak tahu,
mereka melihatnya jauh lebih hebat daripada hasilnya.

Tapi untuk apa?
Untuk kau mendongak menyembah langit 
dan 
lupa di bumi mana kau berpijak?

Kota Kinabalu, Mei 2014.

Gadis Mac

oleh A. Awantang

Bayu lembut dan pipi gebu,
Coklat panas dan krim rindu,
Secubit serbuk vanila cinta hati,
Manisnya di bibir bermain rapi.

Bagel, ham dan keju masin,
Dakwat karbon akhbar kelmarin,
Aroma kopi dan sebutan sayang,
Senyuman strawberi bikin mengundang.

Mei 2014.