Saturday, 27 September 2014

Reminisi Syurga

oleh A. Awantang 

Andai ditakdirkan masa terhenti,
Aku harap ada sesuatu untuk diingati 
oleh aku
untuk kamu,
Kekallah ia dalam pelukan malam hangatmu. 

Meskipun aku tidak bisa hidu haruman syurga,
Tetapkanlah kesayangan aku
dalam kasih dan belas
walau sekelumit cuma,
Aku redha.

Kota Kinabalu, September 2014









(kredit Izza Chantek untuk tajuk)

Thursday, 7 August 2014

Bekas Kaca Dijaga Rapi Demi Semuanya

oleh A. Awantang

Antara semua, aku pilih deretan gigimu tersusun malu mengukir senyuman dan bibir delimamu. 

Antaranya lagi, suara manjamu hanya aku yang bisa mendengarnya 
dan sentuhan manja dibahuku tatkala aku bergurau mesra.

Ada lagi-
Parfummu yang aku curi-curi hidu lantas muka selamba tak bersalah, tiada apa. 

Itu semua untuk kenangan,
Kenangan aku, mungkin engkau juga untuk disimpan dalam bekas kaca nipis kecil, diseluk ke dalam kocek bajuku.
     yang harus aku jaga rapi tanpa calar, 
cacat dan cela. 
Sentiasa dipegang walau ke mana-mana. 
Tahu sajalah sifat sebuah kaca. 
     jika pecah, meski dengan bantuan gam terkuat sekalipun, pasti ada tertinggal serpihan kecil yang hilang. 
Hilang, terus hilang dari mata kasar. 

Pahang, Julai 2014

Taradiddle

oleh A. Awantang

Sebagai seorang manusia bongkak,
tidak akan pernah berhenti mencari
walau dijumpai kehendak, 
ada sahaja yang tidak kena.
Seperti membancuh air teh tanpa susu dan diisi gulanya sedikit demi sedikit, 
Yang tidak kena 
gula itu; 
terkurang pahit, terlebih diabetes.

Hendak mencapai satu kata sempurna itu sukar sekali, baik manusia, meskipun sesuatu.

Sebagai manusia tamak juga, usaha kudrat itu adalah pengukur sebenar,
dan itu bukanlah suatu taradiddle

Pahang, Ogos 2014






taradiddle

noun Informal.

  1. a small lie; fib. 
  2. pretentious nonsense.  

Saturday, 14 June 2014

Tudung

oleh NULL

Tudung memang sarung,
Tapi bukan kurung,
   Bawa wanita ke tempat lebih agung.

Petanda dia patuh,
Biar jalan berselekoh,
   Tahu agama jati diri memang utuh.

Mereka fikir takut,
Macam-macam dicarut,
   Fobia mereka buat kening pun berkerut.

Mereka perlu tahu terrorisma berlainan ritma,
Kalau diukur yang berkata banyak salahnya,
Mungkin buta mata, manipulasi jadi boneka,
Apa salahnya diberi peluang secubit cuma.

Amal bukan dipaksa tapi tahu ada hikmahnya,
Bukan tanda opresi mahupun deraan yang diperkata,
Cuba dengar sendiri dari yang rela hati,
Bukan dari munafik, liberal masa kini.

Agama satu tujuan untuk kita menahan,
Dari yang buruk, yang keji pada Dia,
Lengkap dan cukup malah memudahkan,
Perbaik pesona menawan bercahaya.

Tahukah si dia menjaga yang permata,
Agar dapat dibeza dari kaca biasa-biasa.

Untungnya dia muslimah barokah,
Moga syurga tempatnya doakan InsyaAllah.

Tudung bukan serong,
Bawa wanita ke tempat lebih agung.

25 Mei, Kuala Kangsar

Wednesday, 28 May 2014

Penafian

oleh A. Awantang

Lewat petang kelmarin, dalam perjalanan pulang, seorang gadis awal 20-an menyapa aku dengan senyuman lekuk pipit yang bakal memenangi hati sekalian kaum adam. Aku membalas hanya dengan senyuman hujung bibir kanan dan terus beredar. 

Pada bahu jalan, berdiri seorang wanita tua bersama cucunya barangkali, menunggu seseorang atau sesuatu. Lalu ia senyum manis sedang jarak gigi depannya agak jelas. Aku kerling dan angguk ringan sahaja. 

Hal semalam masih lagi membuatkan aku buntu dan terdiam. Jadi beginilah rasanya gagal dalam perhubungan.

Setibanya di hadapan pagar rumah, seekor kucing domestik jingga putih bergesel-gesel manja pada betis aku. Aku hanya menguis perlahan, 

"Tak, bukan sekarang."

Belum sempat aku melepaskan punggung ke atas tilam empuk, telefon berdering, lalu dicapai dan dari jarak dekat jelas kedengaran suara lembut keibuan; bertanyakan khabar dan segala macam pertanyaan. Risau terkenangkan anak seorang di perantauan. Rindu katanya. Aku jawab satu per satu pertanyaan, tidak berapa fokus. Minda aku masih pada hal semalam. 

Perbualan diakhiri dengan nasihat telus dan ucapan sayang seorang ibu. Jujur ia mahal, ya aku tahu tapi aku hanya mampu menghadap dinding kosong dan terduduk kaku. 

*click

Selesai sahaja berbual, aku membuka telefon pintar lalu ke laman facebook dan menggaru pangkal hidung sebelum mengemaskini status baru,

"Di mana lagi akan ku cari sayang? Apa dunia ini tiada lagi orang baik-baik untuk berkongsi kasih?"

Meliorism

oleh A. Awantang

Kau inginkan hubungan tanpa perang
tapi kau sendiri yang cepat berang

Kau ketagihkan cukup perhatian
tapi kau sendiri yang tak kelihatan

Kau mahu sentiasa diingati
tapi kau sendiri yang mudah lupa diri

Kau mengharapkan ia berbalas
tapi kau sendiri dasar pemalas

Kau butuh diri dihargai
tapi kau sendiri yang boleh pergi mati

Kau hanya fikir fasal hati sendiri
Hati sendiri yang tidak bisa melakukan perubahan diri 
walau sekecil kuman busuk di hati
Apatah lagi dunia. 








Meliorism

noun

  1. the doctrine that the world tends to become better or may be made better by human effort.

Monday, 12 May 2014

Ilusi

oleh Adilin Anuardi

Kerananya,

Ku pilih laluan ini,

Meski hati menyatakan keraguan

Ku gigih juga mengayuh demi secebis kepercayaan.


Namun,

Lakonan mu bak badai,

Membuka mata ku yang kabur dek pasir permainan mu,

Lalu ku sapu,

Ku tutup tirai ini.


Apakan daya,

Ku masih lemas,

Dalam lautan ilusi cinta mu.

Jepun, Mei 2014