Wednesday 28 May 2014

Penafian

oleh A. Awantang

Lewat petang kelmarin, dalam perjalanan pulang, seorang gadis awal 20-an menyapa aku dengan senyuman lekuk pipit yang bakal memenangi hati sekalian kaum adam. Aku membalas hanya dengan senyuman hujung bibir kanan dan terus beredar. 

Pada bahu jalan, berdiri seorang wanita tua bersama cucunya barangkali, menunggu seseorang atau sesuatu. Lalu ia senyum manis sedang jarak gigi depannya agak jelas. Aku kerling dan angguk ringan sahaja. 

Hal semalam masih lagi membuatkan aku buntu dan terdiam. Jadi beginilah rasanya gagal dalam perhubungan.

Setibanya di hadapan pagar rumah, seekor kucing domestik jingga putih bergesel-gesel manja pada betis aku. Aku hanya menguis perlahan, 

"Tak, bukan sekarang."

Belum sempat aku melepaskan punggung ke atas tilam empuk, telefon berdering, lalu dicapai dan dari jarak dekat jelas kedengaran suara lembut keibuan; bertanyakan khabar dan segala macam pertanyaan. Risau terkenangkan anak seorang di perantauan. Rindu katanya. Aku jawab satu per satu pertanyaan, tidak berapa fokus. Minda aku masih pada hal semalam. 

Perbualan diakhiri dengan nasihat telus dan ucapan sayang seorang ibu. Jujur ia mahal, ya aku tahu tapi aku hanya mampu menghadap dinding kosong dan terduduk kaku. 

*click

Selesai sahaja berbual, aku membuka telefon pintar lalu ke laman facebook dan menggaru pangkal hidung sebelum mengemaskini status baru,

"Di mana lagi akan ku cari sayang? Apa dunia ini tiada lagi orang baik-baik untuk berkongsi kasih?"

No comments:

Post a Comment