Tuesday 22 April 2014

Maaf Daun Keladi

oleh A. Awantang

Kalau mahu mengarang tentang 
rasa dan hati,
Seribu lembaran muka surat sekalipun belum tentu dapat dicoretkan
Namun tetap berdegil,
lalu diangkat pen halimunan
kepunyaan hemisfera kanan
Menulis setiap satu darinya.

Berbagai-bagai sub-bab kesukaan;
bab cinta,
bab rindu,
bab kelahi,
bab berbalas emoji,
bab berbalas pesanan ringkas pada lewat malam sambil ditemani bantal busuk terlakar peta Eropah,

dan belajar rahsia 
disebalik pertanyaan;
"Gadis makan apa tengah hari tadi?"

Hati si gadis yang dahulunya kental sekental pejuang bangsa
kini bisa ditembusi duri-duri halus tajam
pedih menusuk setiap pelusuk hati.
Aku tahu semua.

Khilaf demi khilaf 
semuanya terkumpul molek
Setiap perbuatan
masa lalu dan tiada kini
segalanya tercoret.
Hinggakan maaf,
si gadis anggap seperti
jatuhnya air ke daun keladi
Langsung tidak terkesan.

Aku tahu, 
Rongga rapuh di hati si gadis
tidak dapat ditebus
mahupun ditampal
Maka ia tetap kekal di tempatnya
Tiada lagi ruang untuk luka baru.
Aku tahu. 

Setibanya di bab kau-tahu-apa,
Aku menitikkan noktah kecil
bersama sedikit senyum sumbing,
ditutup mata rapat-rapat,
kerut kening,
ditekan-tekan bulatan hitam itu dengan genggaman kuat dan padu,
masih berharap sayup
agar ia tidak terhenti di sini.

Kota Kinabalu, April 2014

No comments:

Post a Comment